Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) negeri, Datuk Ir. Steve Chong Yoon On berkata, sebanyak 36 pemaju perumahan mengambil bahagian dalam edisi kedua Mapex Johor yang diadakan selama tiga hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

“Tumpuan utama Rehda dalam penganjuran ekspo hartanah ini adalah bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah dengan menawarkan harga yang lebih rendah.

“Dengan mengurangkan kos jualan dan menjual pada harga yang lebih rendah, kita akan dapat menjual lebih banyak harta­nah,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuka edisi kedua Mapex 2017 di pusat beli-belah tersebut, hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Johor Bahru, Amran A. Rahman.

Yoon On berkata, pemaju hartanah berpusat di negeri ini khususnya yang terlibat dalam projek di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia yakin prospek hartanah akan menjadi lebih baik pada tahun depan.

Katanya, pasaran akan kembali pulih disebabkan faktor peningkatan kelulusan pinjaman perumahan oleh bank.

"Buat masa sekarang, kita dapat lihat tujuh daripada 10 permohonan diluluskan bank berbanding satu atau dua kelulusan pinjaman diluluskan pada dua tahun yang lalu.

“Ini menunjukkan bahawa pasaran sudah bertambah baik dengan peningkatan kelulusan pinjaman yang diluluskan pihak bank,” katanya.