Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, idea pemansuhan kutipan tol memerlukan penilaian terperinci bagi memastikan tanggungan pampasan yang dibuat tidak menyebabkan pengurangan peruntukan untuk perkara yang lebih penting seperti kesihatan dan pendidikan.

Pada masa sama jelasnya, pemansuhan kutipan tol secara ter­gesa-gesa juga berisiko menjejaskan syarikat konsesi yang telah membuat hutang untuk menanggung pembinaan dan operasi tol.

“Kita kena berhati-hati dalam hal ini dan perlu melihat kemampuan kerajaan. Lihat Plus Malaysia Bhd. (pemegang konsesi Le­buh Raya Utara Selatan), mereka mempunyai bon sebanyak RM30 bilion yang perlu ditanggung, berdasarkan struktur konsesi sehingga tahun 2038.

“Difahamkan syarikat itu te­lah menangguhkan peningkatan kutipan sejak 2005. Kita tidak boleh mansuhkan kutipan tol sesuka hati kerana boleh menjejaskan perbelanjaan kerajaan untuk hal yang lain,” katanya selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Semasa pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di Johor bermula 1 Januari 2018.

Menurut Johari, kerajaan dijangka membayar pampasan kepada pemegang konsesi susulan pemansuhan kutipan tol tersebut iaitu sekitar RM102 juta bagi di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, RM8 juta bagi Plaza Tol Bukit Kayu Hitam selain cada­ngan menghapuskan caj kepada syarikat konsesi EDL sebagai ganti rugi pemansuhan kutipan tol.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan sendiri dianggarkan kehilangan RM1.3 bilion dari segi kutipan cukai pendapatan individu, selepas mengumumkan pengurangan peratusan kadar cukai dalam Bajet 2018.

Beliau bagaimanapun percaya, pengurangan itu boleh merancakkan ekonomi negara memandangkan rakyat akan mempunyai lebihan pendapatan boleh belanja hasil pengurangan cukai yang diumumkan.

Pada masa sama, Johari berkata, kerajaan mahu memastikan pembinaan 210,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berharga RM250,000 ke bawah mengikut Bajet 2018, berada di kawasan yang strategik serta mempunyai akses kepada pe­ngangkutan awam.