Tukiman Radion
TUKIMAN RADION

Menurut Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion, pemansuhan berkenaan akan menyebabkan tiada peluang kerja baharu diwujudkan dan keadaan itu akan mengakibatkan lebih ramai dalam kalangan mereka kehilangan sumber pendapatan.

Tukiman menjelaskan, pembatalan Projek Mesra Rakyat mungkin boleh menyebabkan kontraktor kecil tersebut gulung tikar.

Beliau berkata, ketika ini hampir 50 peratus daripada 24,000 ahli PERKOBF bergantung hidup kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan awam yang mana sumber pendpatan mereka itu telah terjejas teruk akibat penyusutan ketara dalam tawaran kontrak kecil kerajaan.

“Keadaan ini boleh diimbangi dengan perlaksanaan Projek Mesra Rakyat kerana dalam jangka masa panjang akan menambah peluang pekerjaan baharu kepada kontraktor kecil.

“Oleh itu PERKOBF meminta kerajaan menimbang semula keputusan memansuhkan projek tersebut agar kontraktor kecil seperti kami tidak terus terjejas,” katanya kepada Utusan Online ketika diminta untuk mengulaskan mengenai kesan pemansuhan Projek Mesra Rakyat kepada kontraktor kecil.

Isu pemansuhan lebih 4,000 projek Mesra Rakyat merangkumi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang telah diluluskan pada 2018 dibatalkan oleh kerajaan PH ini telah dilaporkan akhbar Utusan Malaysia kelmarin.

Laporan berkenaan turut menyebut, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mendakwa keseluruhan projek yang dimansuhkan tersebut dianggar bernilai lebih RM100 juta.

Menurut Nasrudin, Johor adalah negeri yang mempunyai jumlah projek Mesra Rakyat paling tinggi iaitu sebanyak 800 buah diikuti Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai 500 buah projek.

Kebanyakan projek-projek berkenaan adalah di kawasan luar bandar dan merupakan projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya.

Mokhtar Samad
MOKHTAR SAMAD

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad ketika mengulas isu yang sama pula menyatakan, lebih elok jika kerajaan melakukan pembatalan terpilih berbanding pemansuhan kesemua projek tersebut.

Mokhtar berkata, pemansuhan terpilih bukan sahaja membolehkan kerajaan mengawal aliran perbelanjaan projek terbabit, ia juga dapat membantu kerajaan memastikan kelangsungan hidup pemain industri terutamanya kontraktor kecil terjaga.

Menurut beliau, walaupun dikesali, kontraktor besar masih boleh menangani kesan daripada keputusan kerajaan memansuhkan Projek Mesra Rakyat.

Beliau menjelaskan, kontraktor besar tidak terlalu bergantung kepada projek tersebut dan masih boleh mencari kerja-kerja lain untuk dilaksanakan.

“Sebagai ahli perniagaan, kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber pendapatan semata-mata bagi menjaga kelangsungan hidup perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Mokhtar turut menyatakan, sebelum membuat sebarang pendirian mengenai Projek Mesra Rakyat, kerajaan perlu mengkaji secara mendalam impaknya terhadap pemain industri bagi mengimbangi sebarang kesan negatif akibat daripada keputusan tersebut. - UTUSAN ONLINE