Sambutan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan diadakan di setiap negeri dengan ibu bapa mengambil kesempatan cuti umum hari ini membawa anak-anak ke lokasi sambutan sejak awal pagi bagi merasai sendiri kemeriahan sambutan bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai 10,000 rakyat negeri ini meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri dengan penyertaan 5,213 peserta daripada 107 kontinjen yang diadakan di hadapan Dewan Bandaran.

Selepas memeriksa kawalan kehormatan oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen dan menyaksikan persembahan kese­nian, baginda berkenan menyam­paikan sumbangan kepada beberapa wira negara selain menyempurnakan penyampaian hadiah bagi pertandingan perbarisan dan keceriaan sempena bulan kemerdekaan.

Di KUANTAN, acara dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat utama oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diikuti terjunan khas oleh 10 pegawai dan anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa Jalur Gemilang.

Perarakan turut melibatkan lebih 250 kenderaan awam dan penampilan lintas hormat formasi udara lima jet pejuang Sukhoi SU30 milik TUDM yang berpangkalan di Gong Kedak, Terengganu.

Selepas itu, perisytiharan kemerdekaan dibaca diikuti lau­ngan kemerdekaan tujuh kali bagi mengimbas kembali detik sejarah kemerdekaan negara.

Di JOHOR BAHRU, sebanyak 129 kontinjen melibatkan kira-kira 4,500 peserta memeriahkan perarakan yang diadakan di Pasir Gudang bermula kira-kira pukul 8 pagi sejauh dua kilometer dari Padang Ekstrem Pasir Gudang ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar; Setiausaha Kerajaan Nege­ri, Datuk Azmi Rohani dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Di MELAKA, perarakan terbesar melibatkan seramai 800 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi antara tumpuan menarik selain perarakan seba­nyak 647 pelbagai kenderaan terdiri daripada kereta dan motosikal klasik, basikal tua, beca, kende­raan pasukan keselamatan serta pertunjukan aset senjata milik pasukan ATM.

Di KANGAR, perarakan sam­­­­­­b­u­­t­an Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke majlis itu diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta barisan kepimpinan negeri.

Di ALOR SETAR, sambutan peringkat negeri berlangsung meriah yang dihadiri lebih 5,000 orang seawal pukul 7 pagi di perkarangan Wisma Darul Aman.

Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Tengku Ma­liha Tengku Ariff berkenan me­nyaksikan perarakan oleh 2,000 peserta daripada 95 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan beruniform, badan berkanun dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan serta pancaragam.

Di SEREMBAN, lebih 15,000 orang yang menyaksikan sambutan peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) teruja menyaksikan persembahan pentomin bertajuk ‘Istana Kemerdekaan’ oleh anggota Rejimen 508 Askar Wataniah yang mengimbas semula majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada pagi 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang hadir turut sama melaungkan kata keramat ‘merdeka’ yang bergema di seluruh padang berkenaan.