Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi komitmen kepada segala usaha membanteras ancaman rasuah di negara ini dan memastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, kerajaan prihatin terhadap isu kebajikan warga SPRM dengan peruntukan segera RM5 juta disalurkan kepada Tabung Prihatin SPRM untuk memelihara golongan yang memerlukan.

“Mudah-mudahan ini menaik­kan semangat mereka terus berjuang habis-habisan kerana ini (rasuah) merupakan satu ancaman kepada negara, ancaman kepada masyarakat dan ancaman kepada masa depan negara kita.

“Jadi, (jika) kita dapat bendung dan membanteras rasuah daripada berleluasa, insya-Allah negara Malaysia yang tercinta akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan berjaya, lebih disanjung tinggi, lebih dihormati dan berada di saf hadapan sebagaimana hasrat kita di bawah misi TN50 (Transformasi Nasional 2050),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan kompleks baharu Ibu pejabat SPRM di sini dan melancarkan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Menurut Najib, kompleks baharu Ibu Pejabat SPRM itu benar-benar mencerminkan era baharu SPRM dan melambangkan perjalanan panjang suruhanjaya itu yang asalnya ditubuhkan sebagai BPR pada 1967.

Katanya, menerusi pelbagai kemudahan yang dimiliki SPRM di kompleks berkenaan terma­suk ruang pejabat yang kondusif, Video Interview Room (VIR) serta dewan serbaguna, diharapkan dapat meningkatkan lagi tahap kecekapan suruhanjaya itu.

“Percayalah, kerajaan akan terus memberi kerjasama yang sebaik-baiknya kepada perjuangan SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, Najib membe­ritahu, kerajaan giat membanteras amalan rasuah menerusi pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata, antara inisia­tif berkenaan adalah pelaksa­naan proses penilaian terhadap kontrak pemerolehan kerajaan dan korporat berprofil tinggi yang dibuat tanpa didedahkan identiti syarikat yang membuat tawaran.

“Dalam pemberian kontrak yang melibatkan projek ikonik negara seperti MRT (Transit Ali­ran Massa), saya hendak beritahu bahawa dalam menentukan pemberian tender itu jawatankuasa yang saya pengerusikan bersama beberapa anggota lain, kami tidak mengetahui siapa nama syarikat sebenarnya.

“Cuma diberi kod misalannya PT1, PT2, PT3 dan bila sudah diputuskan siapa dapat kontrak, baru ketua eksekutif bawa surat kepada saya dan macam Aca­demy Award, bila buka surat itu baru saya tahu syarikat mana yang dapat,” katanya.

Beliau memberitahu, proses berkenaan membolehkan pemberian tender dapat dilakukan secara telus dan dinilai secara profesional dari segi teknikal dan kos.

Katanya, pelbagai inisiatif lain turut diperkenalkan termasuk mewujudkan unit pematuhan dalam agensi-agensi penguatkuasa, mempercepatkan perbicaraan kes rasuah dan memperkenal akta perlindungan pemberi maklumat dan melaksanakan program MyProcurement.

Menurutnya, sebagaimana da­lam petikan surah an-Nam ayat ke-35 dan ke-36 yang menceritakan kisah Nabi Sulaiman menolak tawaran begitu lumayan oleh Ratu Balqis kerana menjaga prinsip dan amanah Allah, beliau amat berharap para penjawat awam dapat mencontohi pekerti mulia seperti itu.

Tambahnya lagi, beliau yakin kedudukan Malaysia pada tangga ke-55 daripada 176 negara dalam indeks persepsi rasuah Transpa­rency International 2016 akan dapat diperbaiki lagi pada masa hadapan menerusi pelbagai usaha kerajaan dan SPRM.