Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat kepada 1,241 orang daripada 354 keluarga di Kuantan dan Rompin.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pukul 6 petang ini, sebanyak 15 pusat pemindahan sementara dibuka iaitu sembilan di daerah ini dan enam di Rompin.

“Bagi daerah Kuantan, seramai 724 mangsa banjir dipindahkan daripada 212 keluarga, di daerah Rompin pula, seramai 517 mangsa dipindahkan melibatkan 142 keluarga,” kata portal Info Bencana JKM.

Sementara itu, menurut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Lembing di Kuala Tahan mencatat bacaan 68.15 meter iaitu melebihi paras bahaya pada 68 meter sehingga pukul 1.30 tengah hari ini.

Sungai Belat di Sri Damai turut melepasi tahap bahaya pada 5 meter dengan bacaan 5.69 meter manakala Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan serta Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut masing-masing melepasi paras amaran.

Di TERENGGANU, mangsa banjir terus meningkat kepada 344 orang dengan Kemaman menjadi daerah terbaharu yang dilanda bencana alam itu selepas Dungun.

“Ketua Sekretariat Jawatan­kuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam Abdul Rahman memberitahu, setakat pukul 6 petang ini kesemua mangsa daripada 114 keluarga itu ditempatkan di lima buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, tiga PPS dibuka di Kemaman hari ini iaitu Dewan Orang Ramai Teladas dengan 50 mangsa manakala Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 mangsa) dan Surau Kampung Ban Ho (23 mangsa).

“Di Dungun pula jumlah mang­sa yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal sebanyak 175 orang sejak pagi ini manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja berkurang kepada 77 orang,” katanya.

Di JOHOR, Sejumlah 379 mang­sa melibatkan 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi kekal berada di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­si­hatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, setakat pukul 4 petang ini, kawasan terjejas di Mersing masih melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Katanya, pemantauan banjir berterusan pelbagai agensi yang terlibat sedang dilakukan di kedua-dua daerah termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Setakat 4 petang tadi, stesen meteorologi utama di negeri ini merekodkan jumlah hujan di Mersing adalah sebanyak 38 milimeter (mm), Kluang (2.4mm) manakala Senai (7.8mm).

“Tujuh PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 345 orang melibatkan 86 keluarga iaitu Balai Raya Taman Nakhoda, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, SK Tenglu, Balai Raya Serbaguna Kampung Benaung, Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Balai Raya Pengkalan Batu dan Balai Raya Kampung Air Merah,” katanya.

Di SABAH, bencana banjir berlaku di daerah Tongod yang melibatkan satu pusat pemindahan dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Penangah.

Menurut laman sesawang http://portalbencana.ndcc.gov.my, sebanyak 288 mangsa telah dipindahkan.