Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, caruman KWSP merupakan usaha terakhir bagi membantu kakitangan awam yang terlibat dengan bencana banjir kerana pinjaman koperasi terhad sehingga 60 peratus sahaja, malah ahli kesatuan juga tidak mempunyai sumber lain selain melakukan pinjaman.

“Jika caruman di bawah tabung KWSP dibenarkan keluar awal bagi tujuan bantuan banjir ini, kita minta supaya kerajaan beri pertimbangan segera kerana situasi kekeluargaan mangsa yang terlibat amat teruk.

“Keputusan untuk caruman tersebut telah dibuat, tetapi masih belum dimuktamadkan lagi. Oleh itu, kita berharap supaya kerajaan dapat beri pertimbangan khas untuk masalah mereka,” katanya dalam sidang akhbar majlis Sumbangan Kemanusiaan Mangsa Banjir oleh CUEPACS dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Alias Ahmad; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi, Datuk Nik Ali Mat Yunus; Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pengarah Maktab Koperasi, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.

Mengulas kadar caruman, Azih berkata, rundingan mengenainya boleh dibuat, namun peratusannya bergantung pada nilai dalam tabung setiap ahli dan tahap pengeluaran boleh mencapai kadar 60 hingga 70 peratus daripada jumlah tabungan.

Sementara itu Alias memberitahu, 1,200 penjawat awam yang terlibat banjir akan menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM2.3 juta, hasil kerjasama CUEPACS dan Angkasa.

“Ini merupakan inisiatif dan kerjasama pertama antara dua pertubuhan kerajaan, namun kedua-dua sudah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan bantuan.

“Fokus pada kali ini adalah terhadap ahli yang mengalami kemusnahan rumah sehingga 100 peratus dan berpendapatan rendah,” katanya.