Hujan lebat sejak malam tadi yang berterusan sehingga pagi ini turut menyebabkan beberapa kawasan di bandar Kota Bharu mula ditenggelami air.

Keadaan semasa itu dijangka menyebabkan Kelantan lumpuh selepas semua sembilan daerah di negeri ini ditenggelami air dengan Gua Musang dan Kuala Krai paling terjejas teruk.

Di Gua Musang, jumlah mangsa terus meningkat kepada 6,927 orang daripada 1,772 keluarga di 14 pusat pemindahan diikuti Kuala Krai seramai 5,206 mangsa dengan melibatkan 1,271 keluarga.

Pasir Mas terus merekod jumlah mangsa tertinggi dengan 7,776 orang daripada 2,597 keluarga masih ditempatkan di 30 pusat pemindahan.

Tumpat pula merekodkan seramai 3,794 mangsa diikuti Tanah Merah (801 mangsa), Pasir Puteh (602 mangsa) Machang (149 mangsa), Kota Bharu (296 mangsa) dan Jeli (557 mangsa).

Sementara itu semua sungai utama di negeri ini telah melebihi paras bahaya iaitu di sungai Galas di Dabong, sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan iaitu masing-masing di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja manakala sungai Golok di Rantau Panjang dan Jenob masih kekal berada pada paras bahaya.

Dalam pada itu banjir di negeri itu turut menyebabkan 25 jalan di lapan daerah ditutup untuk semua kenderaan. - UTUSAN ONLINE