Ali yang baharu dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) berkata, perkhidmatan awam tidak harus menolak untuk menyertai dalam revolusi itu.

“Perubahan tidak dapat dielak dan kita perlu berubah agar tetap relevan di dunia masa kini.

“Sekarang lebih daripada sebelum ini, dengan arena global yang dinamik dan kemunculan media sosial, menjadi suatu kewajipan bagi kerajaan melakukan yang terbaik bagi melaksanakan tanggungjawab dalam pentadbiran awam,” katanya ketika merasmikan Forum Media yang julung kali diadakan pada persidangan dwitahunan CAPAM 2014 di sini hari ini.

Forum dengan tema Menarik Penglibatan Komanwel yang diadakan di Pusat Konvensyen An­tarabangsa Putrajaya (PICC) itu di­hoskan bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Kira-kira 600 peserta, keba­nyakannya pelajar komunikasi dan media massa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pengamal media, ahli akademik dan pegawai kanan perkhidmatan awam dari negara Komanwel serta wakil daripada kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi menghadiri forum tersebut.

Ali berkata, dalam konteks Komanwel, kedua-dua media baharu dan tradisional telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan ekonomi, tadbir urus baik serta masyarakat yang sivil.

Justeru, beliau menggesa per-
khidmatan awam untuk bergan­ding bahu dengan pengamal media dalam membincangkan isu-isu semasa dan masa depan industri media baharu, elektronik dan cetak.

Beliau berkata, tujuan kerjasama itu adalah untuk bertukar idea dan maklumat mengenai penyelidikan teknologi terkini dalam media dan komunikasi agar perkhidmatan awam boleh berinteraksi dengan pihak berkepentingan dan masyarakat dengan cepat dan berkesan.

Mengenai forum tersebut, Ali berkata, ia juga bertujuan untuk menarik minat dalam kalangan belia untuk lebih memahami Komanwel dan CAPAM.– BERNAMA