Itu persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diajukan soalan mengenai rancangan kerajaan untuk meneruskan projek hasil ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum bersara pada 2003.

Najib memberitahu, bukan sahaja projek tersebut telah dibatalkan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, malah sejumlah pampasan yang besar juga telah dibayar kepada kontraktor terlibat. 

“Soal sekarang sama ada jambatan itu akan memberi manfaat kepada rakyat atau tidak? Ini kena nilai dan cabaran untuk kerjasama dengan Singapura kerana negara itu tidak mahu meruntuhkan Tambak Johor sedia ada,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memberitahu, kerajaan bercadang meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Sebelum ini, jambatan sepanjang 1.4 kilometer itu mahu dibina oleh Dr. Mahathir suatu ketika dulu bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang telah digunakan sejak 1923. 

Mengulas lanjut, Najib memberitahu, Singapura masih mahu mengekalkan Tambak Johor untuk tempoh 30 tahun lagi kerana percaya masih boleh digunakan. 

Jelasnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepadanya ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri. 

“Saya cuba juga minta Singapura mansuhkan Tambak Johor untuk buat jambatan baharu yang sesuai dengan era sekarang tetapi merek tidak setuju. 

“Singapura tidak mahu keluar dana baharu, sebab itu tidak dapat persetujuan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE