Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, semua manfaat ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang sedang diusahakan di PTPTN.

Katanya, pihaknya mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu mengembalikan peranan PTPTN sebagai sebuah tabung pendidikan, sesuai dengan nama dan niat asal penubuhan badan ini dan mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni.

“Nilai-nilai murni ini pernah disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu rajin bekerja, amanah dan malu untuk melakukan kesalahan. Semua ini adalah nilai-nilai yang diperlukan untuk memastikan rakyat akan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan dan kewajipan mereka dalam segala hal termasuklah dalam urusan-urusan berkaitan PTPTN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di bawah Belanjawan 2019, PTPTN akan melaksanakan pembayaran balik pinjaman dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras

pendapatan peminjam. Jadual pembayaran balik ini hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Selain itu, PTPTN akan melaksanakan pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019.

Malah, layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000. Potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang mendapat keputusan kelas pertama.

Selain itu, PTPTN akan menghapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta. -UTUSAN ONLINE