Amat terasa lancarnya perjalanan harian penulis dari Semenyih ke tempat kerja di Jalan Chan Sow Lin yang jaraknya kira-kira 39 kilometer.

Laluan harian dengan kendera­an sendiri terpaksa menempuh Jalan Loke Yew, Cheras yang ter­kenal dengan kesesakannya walaupun pada pukul 10 pagi yang bukan lagi waktu puncak untuk kakitangan pejabat.

Sesuai dengan jolokan Cheras Crawl selama ini, kebanyakan mereka yang datang dari Kajang dan Semenyih, tidak mempunyai banyak pilihan untuk ke pusat bandar selain terpaksa menempuh jalan berkenaan.

Kini, kesesakan itu tidak lagi menyeksa kebanyakan pengguna jalan raya kerana ramai juga memilih untuk menggunakan MRT.

Pekerja pemasaran, wartawan, ejen jualan, pekerja perkhidmatan penghantaran, pemandu bas, lori dan banyak lagi turut terkesan de­ngan manfaat yang diperoleh daripada perkhidmatan MRT yang telah sepenuhnya memulakan operasi itu.

Kenderaan yang dinaiki meluncur dengan lancar berban­ding biasa dan walaupun terdapat banyak kenderaan serta berlaku sedikit kesesakan pada waktu puncak, namun, kenderaan tetap bergerak untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Manfaat bukan sahaja diperoleh golongan yang memandu kereta, tetapi mereka yang menaiki MRT (kebanyakan pekerja pejabat) juga menerima manfaat iaitu dapat me­ngurangkan kos perbelanjaan perjalanan selain menjimatkan masa mereka untuk ke tempat kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam berkata, perkhidmatan MRT ini dapat me­ngurangkan kira-kira 190,000 buah kenderaan di pusat bandar.

Bagaimanapun, jumlah itu mampu ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi kesedaran awam untuk menggunakan perkhidmatan awam.

Cabaran utama pada waktu ini adalah untuk memastikan golongan atasan seperti pengarah syarikat, ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan syarikat-syarikat yang sewajarnya turut sama menggunakan MRT.

MRT bukan sahaja untuk golongan ‘marhaen’, tetapi pengangkutan awam itu diwujudkan untuk kegunaan dan keselesaan semua.

Jika semua mempunyai mentaliti yang sama iaitu menggunakan pengangkutan awam tanpa mengira kelas, tahap kedudukan, bangsa dan agama, maka, usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di bandar raya Kuala Lumpur dapat direalisasikan.