Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, universiti-universiti tempatan dari segi pencapaian serta penarafan ketika ini dilihat bertambah baik sehingga ada antaranya menjangkau kualiti institusi pengajian tinggi yang ada di luar negara.

“Kalau di peringkat pengajian sarjana atau doktor falsafah (PhD), mungkin boleh kita hantar melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Tetapi kalau melibatkan pengajian di peringkat ijazah asas (sarjana muda), kenapa kita perlu hantar ke luar negara sedangkan kita ada lima buah universiti penyelidikan yang berkualiti serta mendapat penarafan terbaik dunia seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Malah, kita juga tidak kurang mempunyai universiti-universiti swasta yang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Mahsa bernilai RM20 juta di kampus universiti itu di Bandar Saujana Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama, Canselor Universiti Mahsa, Tun Zaki Azmi dan Pro-Canselor merangkap Pengerusi Eksekutif Universiti Mahsa, Tan Sri Dr. Mohamed Haniffa Abdullah.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pihaknya berusaha meningkatkan kualiti institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini dan proses tersebut dilakukan secara berterusan.

“Setakat ini, institusi-institusi pengajian tinggi kita menerima pengiktirafan daripada negara luar dan mendapat penarafan antarabangsa. Keadaan ini menunjukkan usaha kementerian mula membuahkan hasil.

“Sasaran kita menjelang 2020, kita mahu sekurang-kurangnya dua universiti tempatan berada di kedudukan 100 terbaik dunia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE