Menurut Perdana Menteri, metodologi kajian seperti horizon scanning dan strategic foresight telah pun digunakan sepenuhnya oleh negara membangun termasuk United Kingdom, Finland malah Singapura untuk memastikan pelan jangka panjang yang bersesuaian.

“Saya difahamkan bahawa Ketua Setiausaha Negara sendiri telah menerajui dan menggalakkan metodologi scenario scanning digunakan dalam penyediaan pelan tindakan negara.

“Saya begitu teruja apabila Jabatan Perkhidmatan Awam negara kita telah pun mengguna pakai metodologi foresight dalam penyediaan pelan strategiknya dengan kerjasama Malaysian Foresight Institute (myForesight) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP),” katanya dalam ucaptama ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) di Bangunan Putra Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, menurut Najib, ketiga-tiga kertas pertimbangan dalam mesyuarat tersebut iaitu Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), Pekerjaan Masa Hadapan dan Keselamatan Siber merupakan topik yang membabitkan kepenti­ngan masa hadapan negara.

“Keupayaan untuk menguasai teknologi termasuk mengeksploitasi dan meneroka distruptive technologies adalah penting untuk mentransformasikan pelbagai sektor ekonomi negara melalui pendekatan STI (sains, teknologi dan inovasi).

“Ini bagi memastikan negara terus mengorak langkah dan tidak ketinggalan dalam persai­ngan yang menjejaskan pemba­ngunan dan ekonomi negara serta kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Jelas Najib, menerusi dialog TN50 yang disertai beliau bersama komuniti saintifik baru-baru ini, rumusan yang dapat dibuat adalah pengetahuan begitu pen­ting untuk masa hadapan dan negara perlu mengunakan acuan sendiri dalam merangka Malaysia pada 2050.

“Saya tertarik dengan cada­ngan Progresif Malaysia 2050 yang dianjurkan oleh komuniti saintifik di dalam dialog tersebut. Sehubungan itu, saya mencadangkan ia dibentangkan dalam mesyuarat NSC akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid di atas kejayaan meraih anugerah Wira Biodiversiti ASEAN di Manila, Filipina, kelmarin.