Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, SOP itu perlu disediakan sebelum sesi pendengaran awam dan libat urus diadakan bagi menambah baik pengurusan perlombongan serta pengeksportan bauksit di negeri ini yang mana hanya tinggal tiga minggu untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Katanya, terdapat empat aspek yang memerlukan SOP lengkap dan berkesan iaitu perlombongan, pengangkutan, pengurusan stok simpanan serta pengeksportan bauksit.

“Sebelum ini, setiap peringkat empat aspek ini tiada SOP jelas dan penguatkuasaan yang ketat. Kali ini kita masih me­nunggu SOP baharu.

“Kita perlu melihatnya be­tul-betul dan ada sesi pende­ngaran awam yang mana warga Kuantan kena datang beri pandangan sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan moratorium bauksit,” katanya selepas mengedarkan 3,000 kuntum bunga kepada pengunjung wanita sempena sambutan Hari Wani­ta Sedunia anjuran bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pejabat Ahli Parlimen Kuantan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini hari ini.

Pada 18 Februari lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari negeri ini yang berakhir pada 31 Mac ini tidak akan dilanjutkan.

Dalam pada itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya belum memuktamadkan cadangan pembekuan akaun bekas suami yang liat dan gagal membayar nafkah kepada isteri serta anak mereka selepas berpisah.

Beliau berkata, terdapat aspek perundangan yang perlu dilihat dan dikaji dengan lebih teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini perkara yang sedang kita kaji dan perlu lihat kepada undang-undang yang boleh membantu kita untuk membekukan akaun bekas suami yang ingkar memberi nafkah,” katanya.

Sementara itu, berhubung tindakan mencampur aduk perarakan sambutan Hari Wanita de­ngan agenda lesbian, gay, bi­seksual dan transgender (LGBT) di Kuala Lumpur semalam, beliau menyifatkan perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Ini bukan sesuatu yang kita sokong sebab saya kira tidak harus dicemari sambutan Hari Wanita,” katanya.