Menurutnya, kredibiliti DoJ boleh dipertikaikan kerana me­reka sekadar mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mencetuskan persepsi buruk kepada negara tanpa melakukan dakwaan terhadap mana-mana pihak yang dikaitkan dengan salah tadbir urus dalam syarikat itu.

Katanya, cara DoJ mengendalikan isu mengenai 1MDB amat mengecewakan kerana secara tidak langsung membiarkan pihak-pihak tertentu ‘menangguk di air keruh’ bagi memburukkan imej pemimpin negara.

“Pendekatan DoJ itu memberikan peluang kepada individu atau pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh, dengan menjadikan isu 1MDB untuk membalas dendam terhadap kerajaan.

“Saya mahu nasihatkan DoJ jika mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah dan jangan sekadar keluarkan kenyataan-kenyataan sahaja tanpa mengambil tindakan. Jika ada dakwaan di mahkamah, orang yang didakwa boleh tampil untuk membersihkan nama mereka dan ini barulah adil.

“Kalau sekadar mengeluar­kan kenyataan sahaja tanpa mengambil tindakan, kredibiliti mereka boleh dipertikaikan,” katanya semasa sidang akhbar selepas perjumpaan bersama setiausaha-setiausaha UMNO bahagian dan sayap parti itu di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, DoJ sekali lagi memfailkan saman sivil berkaitan 1MDB tanpa me­minta kerjasama kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta 1MDB sendiri sekali gus menimbulkan pelbagai keraguan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat negara ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, apa yang dilakukan oleh DoJ itu berada di luar kawalan kerajaan Malaysia.

“Saya sendiri memberitahu ke­pada setiausaha-setiausaha UMNO bahagian bahawa apa jua isu nasional, rakyat hanya mahu kerajaan membela nasib mereka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mendekati rak­yat,” katanya.

Dalam perjumpaan itu, beliau berkata, UMNO telah menyediakan garis panduan untuk diberikan kepada semua peringkat bahagian parti bagi membentuk gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Garis panduan ini akan diedarkan kepada semua bahagian dan sayap parti mengikut kesesuaian masing-masing. Kita mahu memberikan input kepada semua peringkat bahagian UMNO, dan pada masa sama kita mahu mendapatkan maklum balas mengenai apa yang mereka mahukan,” katanya.