Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee, Vuitton Pang Hee Cheah berkata, produk berasaskan mi ramen itu bakal memasuki pasaran Malaysia pada Mac ini sebelum dilancarkan secara rasmi pada April.

Katanya, produk yang diberi nama Daebak itu merupakan hasil usaha sama dengan syarikat penyedia makanan terkemuka di Korea Selatan, Shinsegae Food berikutan syarikat ber­kenaan mempunyai kepakaran dalam pembuatan bahan perasa.

“Ia akan dijual dalam bentuk peket dan cawan dengan dua perisa iaitu kimchi serta ayam pedas,” katanya dalam sidang akhbar penglibatan Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Mengulas lanjut, Vuitton berkata, mi ramen berbentuk peket bakal dijual pada harga antara RM4 hingga RM4.60 sepeket.

Ujarnya, usaha sama dengan Shinsegae Food bakal membuka peluang luas terutama dari segi penyediaan makanan halal di Korea Selatan dan di Malaysia sendiri.

“Kita dapati terdapat permintaan yang tinggi terhadap makanan popular dari Korea Selatan dan dengan usaha sama ini ia bakal membuka peluang memperkenalkan produk halal pertama dari Korea Selatan,” katanya.

Tambah Vuitton, usaha ber­kenaan juga dilakukan susulan permintaan tinggi daripada masyarakat Malaysia yang mana kebanyakan daripada mereka begitu meminati drama Korea sehingga wujudnya era K-Pop pada masa ini namun keinginan dalam makanan negara ini sedikit terbatas susulan ke­sukaran mendapatkan produk halal.

Justeru ujarnya, bagi me­ngatasi masalah berkenaan, Mamee bekerjasama dengan Shinsegae dan memperkenalkan produk baharu yang mana usaha sama itu dilakukan de­ngan gabu­ngan kepakaran kedua-dua pihak berhubung pembuatan mi dan bahan pe­rasa dari Korea. – utusan