Pengerusinya, Datuk Mariam Mas Yacob berkata, keberkesanan program perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin itu yang berjaya membawa perubahan lebih baik kepada kehidupan pengamal Mama Care mendorong pihaknya memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara .

Menurutnya, pada masa ini terdapat seramai 711 pengamal Mama Care dan ada antara mereka mampu mencapai pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan bergantung pada inisiatif masing-masing.

“Wanita yang menjalani latihan Mama Care akan menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu yang baharu bersalin sekali gus dapat menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan wanita serta keluarga.

“Sehingga kini, seramai 86 pengamal Mama Care berjaya membuka spa sendiri hasil daripada pendapatan yang diperoleh menerusi perkhidmatan tersebut manakala 50 orang lagi berjaya mengeluarkan produk sendiri untuk dipasarkan secara kecil-kecilan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Latihan Asas Kapasiti Program Mama Care di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pemang­­ku Pengarah LPPKN negeri, Norshuhada Abu Bakar.

Program Mama Care merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi tanggungjawab memperkasa ekonomi wanita menerusi pembangunan kapasiti.

Pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama antara LPPKN, Kementerian Kesihatan dan Gabungan Pertubuhan Pengamal Tradisional Melayu Malaysia (Gapera).

Dalam pada itu, Mariam Mas memberitahu, laporan pendapatan program Mama Care bagi seluruh negara dari Januari 2013 hingga April lalu adalah sebanyak RM13.2 juta menerusi 108,892 sesi bersama klien.

“Bagi negeri ini sahaja, dalam tempoh bermula Oktober 2014 hingga Julai lalu, jumlah pendapatan mencecah RM892,405,” katanya.