Mungkin ramai beranggapan jenama pistol itu adalah dari Rusia, berdasarkan sebutannya yang kedengaran seperti dari negara eropah itu.

Bagaimanapun, semua orang perlu mempercayai bahawa Malinnov merupakan pistol jenama tempatan yang dibuat, dikilang dan dikeluarkan sepenuhnya di Malaysia.

Agies Mallinnov Sdn. Bhd., syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan Malinnov mula beroperasi sejak 2012 dengan model pertama pistol semi automatik Malinnov M1P dikeluarkan pada 2013.

Syarikat tempatan yang ber­operasi di Taman Teknologi Malaysia (TPM) itu mempunyai kilang dan lapang sasar sendiri.

Pengarah Urusannya, Mohd. Johari Mohd. Noor berkata, sehingga hari ini, selain Malinnov M1P, syarikat itu juga mengeluarkan model Malinnov 1911.

“Kami juga sedang menghasilkan pistol kompak, selain pelancar roket (RPG) dengan usahasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kedua-dua model ini dijangka siap dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016, di sini hari ini.

Mengulas mengenai rekabentuk pistol, Mohd. Johari menegaskan, mereka tidak meniru model-model pistol lain untuk penghasilan jenama Malinnov.

Katanya, semua pistol nampak seakan sama tetapi yang membezakannya ialah teknologi rifling barrel sesuatu jenama.

“Model Malinnov, kami buat semua komponen sendiri,  jadi sudah tentu bukannya meniru mana-mana produk.

Sementara itu, Pengarah Jualan GT Line, Roberto Giudici berkata, pengeluaran kit penyimpan dari Itali, mengenal pasti wakil tempatan untuk memasarkan produknya di Malaysia.

“Ekoran permintaan besar pengguna akhir di Malaysia dan peluasan pengedaran kami di Asia, kami mahu menjalin kejasama dengan rakan pengedar tempatan bagi mengedarkan produk kami dalam pasaran tempatan,” katanya.

Diasaskan pada 1970 di Bologna, Itali, GT Line mengedarkan produk dan penyelesaian kit peralatan jenama GTLine pelbagai jenis beg jenama WOrkLine serta jenama terkini kit penyimpan Explorer. – BERNAMA