Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tidak sewajarnya Malindo Air yang merupakan sebuah syarikat penerbangan bajet milik asing dibiarkan meneruskan operasinya di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedangkan syarikat tersebut mempunyai cukai lapangan terbang yang tertunggak sehingga RM70 juta.

“Kenapa perlu ada layanan dwistandard kepada Malindo Air? Syarikat ini dipercayai mempunyai masalah kewangan sehingga tidak membayar cukai tetapi masih beroperasi di KLIA yang mempunyai kemudahan bertaraf dunia.

“Perkara ini menyebabkan KLIA sesak dan tidak lagi eksklusif kepada para pengguna malah ia juga tidak adil kepada syarikat penerbangan lain yang membayar cukai mereka,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan mengenai Malindo Air yang mempunyai tunggakan cukai lapangan terbang sehingga RM70 juta.

Mohd. Puad juga meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan syarikat penerbangan tersebut melunaskan hutang tersebut dengan segera.

Jais menambah, kecekapan dan tadbir urus korporat yang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga mula dipersoalkan ramai pihak memandangkan Malindo Air terus dibiarkan beroperasi walaupun dengan cukai yang tertunggak.

“Bagaimana pegawai MAHB boleh tutup mata membiarkan Malindo Air terus menggunakan kemudahan di KLIA sedang­kan cukai tertunggak syarikat berkenaan ter­lalu tinggi?

“Saya berpendapat MAHB juga perlu disiasat kenapa membiarkan sehingga perkara ini terlepas pandang,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Undang-Undang Kelab Sahabat N87, Kamarudin Ahmad berkata, operasi Malindo Air perlu dipindahkan ke KLIA2 agar operasi semua syarikat penerbangan bajet dise­laraskan di satu kawasan sahaja.

“Layanan harus diberikan sa­ma rata kepada semua syarikat penerbangan dan sepatutnya ti­dak wujud unsur pilih kasih.

“KLIA seharusnya dijadikan pu­sat operasi penerbangan antarabangsa dan tidak boleh dicampur dengan penerbangan lain,” katanya.