Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Malikie kembali bersekolah di SK Ajil

Ghazali Taib (kiri) menyaksikan Muhammad Malikie Shamsul Rizal
Ghazali Taib (kiri) menyaksikan Muhammad Malikie Shamsul Rizal menerima buku teks daripada pihak sekolah ketika diterima semula untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ajil, Kuala Berang, Terengganu, semalam.

HULU TERENGGANU 19 Feb. – Seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Malikie Shamsul Rizal, 11, sering berleter jika ada dalam kalangan rakan-rakannya di pe­nem­patan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Ajil di sini ponteng sekolah.

Bagi anak kelima daripada enam beradik itu, peluang me­nuntut ilmu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan dia sendiri tidak bernasib baik apabila terpaksa berhenti belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil sejak setahun lalu dise­babkan tiada sijil lahir.

Bagaimanapun, hari ini Muhammad Malikie yang dilahirkan di Pekanbaru, Sumatera kembali semula belajar ke seko­lah itu bagi menyambung pelajaran dalam tahun lima.

Kemasukannya diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) kawasan itu, Gha­zali Taib dengan dibantu Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Ghazali berkata, ibu bapa kanak-kanak itu merupakan warganegara Malaysia yang menetap di sana pada tahun 2006 kerana bekerja di sektor pembalakan tetapi pulang semula ke Malaysia pada 2008.

“Oleh kerana pasangan berke­naan berada di sana melebihi masa manakala pasport mereka pula sudah tamat tempoh menyebabkan mereka tidak dapat kembali ke tanah air sehinggalah Muhammad Malikie dilahirkan.

“Insya-Allah, kami akan ke Pekanbaru dalam masa terdekat untuk menyelesaikan soal sijil kelahiran itu dan setelah semua dokumen diperoleh maka kita akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia buat Muhammad Malikie,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi kanak-kanak itu ke sekolah hari ini.

Sementara itu, ibu Muhammad Malikie, Hasiah Ali, 41, berkata, perkembangan itu ter­nya­ta menghilangkan segala ke­bim­bangan keluarga terhadap masa depan kanak-kanak itu ke­lak dan walaupun tercicir selama setahun, dia yakin anaknya mampu menempuh alam persekolahan dengan lancar.

“Anak saya bersekolah di sini sejak dia di tahun satu lagi selepas kami memperoleh kebenaran daripada Jabatan Pendidikan negeri tetapi mulai tahun lalu, prosedur operasi standard (SOP)pendaftaran murid menun­tut sijil kelahiran menyebabkan Muhammad Malikie tidak dapat bersekolah.

“Dia memang mahu ke seko­lah dan apabila ada kawan-ka­wan yang ponteng dia pasti berleter. Sepanjang duduk di rumah tahun lepas, ada masa saya lihat dia membaca bukunya semasa di tahun tiga,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain