Menteri Perdagangan Antara­bang­sa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat ketika ini, pelan tindakan berkenaan telah diserahkan kepada pihak Vietnam untuk dimuktamadkan.

“Berdasarkan pertemuan saya dengan Presiden Vietnam (Tran Dai Quang) dan Perdana Menteri Vietnam (Nguyen Xuan Phuc), maklum balas yang diterima amat positif untuk matlamat perdagang­an tersebut dicapai.

“Kesudian kedua-dua pemimpin itu untuk pertemuan dengan saya memang sesuatu yang tidak dijangka dan ini menunjukkan keyakinan tinggi Vietnam terhadap Malaysia dan integrasi ekonomi ASEAN,” katanya di sini semalam.

Mustapa berkata demikian da­lam sidang akhbar sempena me­rumuskan misi perdagangan ke Viet­nam selama dua hari bermula Khamis lalu yang diketuai beliau.

Yang hadir sama Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Mohd. Zamruni Khalid.

Mustapa memberitahu, jumlah perdagangan antara Malaysia de­ngan Vietnam telah meningkat da­ripada AS$2.2 bilion (RM9.7 bilion) pada 2005 kepada AS$9.3 bilion (RM41.1 bilion) pada 2015.

Dari segi pelaburan asing dalam negara (FDI) di Vietnam, jelas beliau, Malaysia merupakan pelabur ke­­tujuh terbesar di negara itu de­ngan nilai AS$12 bilion (RM53 bilion).

Katanya, antara sektor-sektor di Vietnam yang berpotensi diterokai pelabur-pelabur Malaysia ialah infrastruktur, minyak dan gas serta tenaga dan pembuatan.

“Mereka (Vietnam) antaranya berminat untuk penyertaan Malaysia dalam projek lebuh raya utara selatan di negara itu serta projek lapangan terbang baharu Ho Chi Minh,” katanya.

Ujarnya, dengan ketidaktentuan ekonomi global, syarikat Malaysia disaran memberi tumpuan terhadap negara ASEAN yang sebenar­nya memiliki banyak potensi untuk pelaburan, sekali gus meningkatkan integrasi ekonomi rantau ini.

Katanya, beliau juga berharap lebih banyak perdagangan dari Vietnam ke Malaysia dapat ditingkatkan terutamanya dalam sektor pelancongan kesihatan dan pendidikan tinggi.