Mesyuarat dua hala itu berlangsung hampir setengah jam di sini, di luar Me­syuarat Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 (AELM).

Dalam pertemuan itu Najib mengucapkan tahniah kepada Tran sebagai Pengerusi AELM dan memuji pembangunan bandar peranginan itu.

Antara perkara yang disentuh dalam perbincangan dua pemimpin negara itu adalah berhubung persetujuan menaik taraf hubungan perdagangan dua hala menjadi Rakan Kongsi Strategik seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Dalam tempoh 10 tahun, nilai dagangan dua hala meningkat  tiga kali ganda kepada AS$10.3 bilion pada 2016 daripada AS$3.2 bilion pada 2006.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Vietnam melonjak 10.8% kepada AS$10.3 bilion pada 2016 berbanding AS$9.3 bi­lion pada 2015.

Terdahulu, Najib tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerja tiga hari termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-21.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang pada pukul 2.45 petang ini disambut oleh Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam,  Phung Xuan Nha dan Duta Malaysia M. Zamruni Khalid.

Najib kemudiannya terus ke hotel penginapannya di Sheraton Danang untuk taklimat ber­sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebelum ke Pusat Persidangan Danang untuk kunjungan hormat ke atas Tran.

Esok, Najib dijadual mengha­diri Mesyuarat Kerjasama Amerika Syarikat-APEC selain me­ngadakan pertemuan dua hala dengan Papua New Guinea, Australia dan New Zealand.

Perdana Menteri juga akan menyertai dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC,  bermesyuarat de­ngan ketua-ketua anggota perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan terlibat dengan sesi plenari Majlis Penasihat Perniagaan APEC ( ABAC).

Jadual padat beliau esok turut merangkumi Dialog ABAC dengan Ketua-ketua APEC,  rundingan tidak rasmi APEC-ASEAN, sebelum menyertai ketua kerajaan 21 anggota pakatan ekonomi itu ke jamuan rasmi yang dihoskan oleh Presiden Vietnam selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-25. – UTUSAN