Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan yang berlangsung dalam suasana mesra dan produktif di sini semalam.

Masing-masing negara akan mengkaji cadangan yang dikemukakan dengan Najib menjemput Erdogan berkunjung ke Kuala Lumpur akhir tahun ini bagi menandatangani dua kesepakatan penting itu.

Kedua-dua pemimpin sepakat untuk menyasarkan nilai dagangan dua hala ditingkatkan kepada AS$5 bilion berbanding kira-kira AS$2 bilion tahun lalu.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan empat mata yang diikuti mesyuarat delegasi itu, Najib berkata, kesepakatan lain yang dicapai ialah memansuhkan visa dan menambah kekerapan penerbangan.

Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan tempoh lawatan 90 hari kepada rakyat masing-masing negara. Serentak itu, Turkish Airlines akan mewujudkan semula penerbangan terus Istanbul-Kuala Lumpur manakala Malaysia mengkaji untuk menambah kekerapan penerbangan ke Turki yang kini tiga kali seminggu.

“Ini adalah satu keputusan bersejarah dan penting yang tentunya dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” kata Najib sambil menambah terdapat ramai rakyat Malaysia yang berasal dari Turki.

Lawatan Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut mengiringi ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kedua-dua negara juga sepakat untuk menganjurkan Kempen Melawat Malaysia di Turki dan Kempen Melawat Turki di Malaysia. Seramai 8,555 pelancong Turki melawat Malaysia dalam tempoh Januari hingga November 2010,

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Turki berkata, kesepakatan itu tentunya memberi isyarat tepat bahawa kedua-dua negara sentiasa memandang ke depan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan hubungan sesama rakyat.

Menurutnya, Malaysia-Turki juga akan melihat kemungkinan memperluaskan kerjasama antaranya dalam industri automobil dengan Proton bakal membincangkan usaha sama berkaitan.

Dalam bidang minyak dan gas, Petronas bersama syarikat Turki, TPOA yang kini menjalin kerjasama di Iraq, kata Najib, berpotensi untuk meneruskan kerjasama strategik di negara-negara lain.

Begitu juga kerjasama dalam bidang ketenteraan antara FNSS Defense System Inc. dan DRB-Hicom Berhad akan diteruskan dengan meneroka peluang-peluang perniagaan baru, katanya.

Najib turut menyatakan komitmen untuk menambah pembelian kenderaan perisai buatan FNSS bagi kegunaan tentera Malaysia.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, beliau dan Erdogan turut membincangkan perlunya negara-negara Islam mempunyai urus tadbir yang baik untuk memastikan kestabilan negara berkaitan yang kini sedang menghadapi tempoh traumatik.

“Satu-satunya penyelesaian adalah menerapkan tadbir urus kerajaan yang baik dengan mengekalkan prinsip-prinsip demokrasi dan membuat pengubahsuaian berdasarkan keperluan semasa dengan suara rakyat sentiasa didengar,” katanya.

Erdogan pula yang menyifatkan lawatan Najib sebagai sangat dinanti-nantikan selepas 28 tahun lawatan Perdana Menteri Malaysia, berkata, platform perbincangan peringkat tertinggi kedua-dua negara tidak ada masalah dan beliau telah beberapa kali berinteraksi dengan Najib dalam mesyuarat-mesyuarat antarabangsa

Beliau juga melahirkan keyakinan demokrasi di Turki dan Malaysia yang telah menghasilkan banyak pencapaian boleh dijadikan model untuk dicontohi negara-negara lain. – Utusan