ICAKL 2017 bertemakan Koperasi Memartabatkan Masyarakat Dalam Arus Pembangunan melibatkan lebih 300 organisasi dan 1,500 peserta daripada seluruh dunia yang akan bersama selama seminggu di sini.

Malaysia diumumkan menjadi tuan rumah dalam majlis sama yang berlangsung di Turki pada tahun 2015 dengan menewaskan New Zealand, Australia dan Iran selepas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Ang­kasa) menyatakan hasrat tersebut pada 2013 ketika Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ICA di Cape Town, Afrika Selatan.

ABDUL FATTAH ABDULLAH
ABDUL FATTAH ABDULLAH

Selaku badan yang bertanggungjawab menyelaras gerakan koperasi di Malaysia, Angkasa mengambil peranan utama sebagai penganjur ICAKL 2017.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Malaysia merupakan negara Islam kedua selepas Turki menjadi tuan rumah kepada acara terbesar gerakan koperasi seluruh dunia dan ia adalah satu kepercayaan kepada negara.

“Sebanyak 34 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan kali ini yang merangkumi pelbagai sektor termasuklah pemba­ngunan belia, pelarian, pekerja asing dan sebagainya.

“Perbincangan akan merangkumi bagaimana koperasi boleh membantu mengenai perkara tersebut selain mungkin akan menjadi resolusi di negara ma­sing-masing mahupun antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Setakat ini, sebanyak 98 negara telah mengesahkan penyertaan daripada 105 negara antaranya China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Afrika Selatan.

Program dwi tahunan ini telah dimulakan sejak tahun 1895. Selain Persidangan Antarabangsa ICA terdapat dua lagi program yang dijalankan serentak iaitu Mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Statutori Ikatan Koperasi Antarabangsa dan Perhimpunan Agung ICA.

Dalam pada itu, dua program lain turut diadakan sempena persidangan kali ini iaitu, Persidangan Tahunan Pertama ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS).

Abdul Fattah ber­ka­­ta, ICAKL 2017 meng­­gunakan empat tek­nik pende­katan uta­ma iaitu pembe­lajaran (learn), ja­ringan (network), uji kaji (experiment) dan meneroka benda baharu (explore) bagi membolehkan peserta mendapatkan pelbagai input menarik sepanjang persidangan.

Menurutnya, persidangan itu juga bakal membincangkan hubungan kerajaan dan koperasi, pembangunan belia, perniagaan antara koperasi dan koperasi, krisis pela­rian, koperasi institusi pendidikan dan pelbagai perkara lagi.

“Dua pence­ramah dijemput memberikan ucapan dalam majlis tersebut adalah bekas Perdana Menteri pertama wanita Norway, Gro Harlem Brundtland dan ahli Forum Ekonomi Dunia, Linda Yueh,” katanya.

Abdul Fattah berkata, matlamat penganjuran kali ini adalah untuk memperkenalkan koperasi tempatan kepada luar negara dan diharap dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan dalam jalinan kerjasama antara koperasi.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kekuatan produk dan perkhidmatan yang tidak banyak di negara lain seperti sistem kewangan Islam, produk halal dan koperasi sekolah.

“Jalinan kerjasama itu kelak akan menjadi titik tolak hubu­ngan Malaysia dan negara luar bukan sahaja untuk perniagaan malah sebagai lokasi pelancongan yang dikenali ramai,” katanya.