Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, urusan Kedutaan Malaysia di Pyongyang akan dicadangkan untuk dikendalikan dari Beijing.

“Wisma Putra akan membuat rekomendasi ini kepada Kabinet pada perjumpaan akan datang.

“Buat sementara ini, tiada duta akan dihantar ke Pyongyang dan ia akan dikendalikan dari kedutaan di Beijing,” kata­nya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Cabaran dan Isu Dalam Urusan Hubungan Luar Malaysia di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Moha­mad Kadim Suaidi; Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan kementerian, Duta Bala Chandran Tharman; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim kementerian, Dr. Azfar Mohamad Mustafar dan Pembantu Menteri kepada Ke­tua Menteri Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.

Anifah telah berkongsi pe­ngalaman dan pendirian negara dalam aspek hubu­ngan luar negara yang kompleks dan mencabar di hadapan kira-kira 1,500 pelajar serta jemputan.

Kementerian Luar pada 28 September lalu telah mengeluarkan arahan lara­ngan perjalanan kepada seluruh rakyat negara ini ke Korea Utara sehingga diberitahu kelak.

Terdahulu, Anifah juga ber­kongsi dari aspek hubungan diplomatik ketika kejadian pembunuhan rakyat Korea Utara di negara, katanya, terdapat ke­nyataan-kenyataan daripada semua yang terlibat malah pihak tidak berkenaan dalam kes itu.

“Terdapat kenyataan itu telah menggambarkan yang tidak baik kepada negara dan membangkitkan lagi kemarahan rakyat.

“Sebagai menteri, saya hanya mengeluarkan kenyataan bila terdapat keperluan bukannya ketika beremosi agar tidak perlu untuk menambahkan lagi mi­nyak ke dalam api,” jelasnya.

Anifah berkata, satu perkara tentang diplomasi dan tugas sebagai Menteri Luar adalah sentiasa ada pertimbangan mengenai nyawa manusia yang mana perlu berhati-hati apa yang diungkapkan dan diam bila perlu.

“Hal ini kerana ia mungkin memberi impak dan menjejaskan hubungan antara negara serta membahayakan nyawa rakyat kita di luar,” ujarnya.