Antara yang menyatakan kecenderungan tersebut adalah Pakistan, Jepun, Papua New Guinea dan Timor Leste.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kesediaan tersebut telah dinyatakan dalam siri pertemuan dua hala antara beliau dengan pemimpin-pemimpin negara berkenaan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkukuhkan dasar pertanian diterajui eksport atau export-led agriculture dan menjadikan sektor agromakanan sebagai sumber pendapatan penting untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Persidangan Menteri-Menteri Pertanian FAO PBB untuk Asia dan Pasifik Ke-33 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Sebanyak 500 perwakilan dari 46 negara menyertai FAO Ke-33 sejak Isnin lalu di PICC dan acara ber­kenaan adalah kali ketiga dianjurkan di Malaysia selepas menjadi tuan rumah pada 1962 dan 1978.

FAO adalah sebuah agensi khusus PBB yang bertanggungjawab bagi sektor makanan dan pertanian serta memimpin usaha antarabangsa dalam mengatasi kelaparan sedunia serta bertindak sebagai forum neutral yang mana semua pihak dapat bertemu dalam keadaan setaraf untuk berun­ding mengenai perjanjian dan dasar.

Menurut Ahmad Shabery, Pakistan menerusi Menteri Keselamatan dan Kajian Makanan Kebangsaannya, Sikandar Hayat Bosan telah menjemput Malaysia untuk mengeksport buah-buahan tempatan seperti betik dan nanas yang amat popular di negara berkenaan.

“Jepun pula berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang halal bagi membuka peluang pasaran baharu. Pada masa yang sama, Jepun turut meminta Malaysia membantu menyediakan keper­luan makanan halal semasa berlangsungnya Olimpik 2020 di Tokyo.

“Menerusi perbincangan dengan Papua New Guinea pula, kedua-dua negara telah bersetuju untuk be­kerjasama dalam merumuskan protokol perdagangan pertanian bagi meningkatkan aktiviti perdagangan,” katanya.

Katanya, selain daripada hasil pertanian, varieti tanaman serta baka ternakan daripada Malaysia juga berpotensi untuk dipasarkan dengan Timor Leste berminat untuk mendapatkan benih padi serta baka lembu tenusu yang sesuai.

Ahmad Shabery memberitahu, mengukuhkan pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu adalah antara strategi yang telah di­ga­riskan oleh kementeriannya dalam usahanya memperbaiki imbangan dagangan agromakanan negara.

“Walaupun saban tahun eksport produk agromakanan negara semakin meningkat namun import mening­kat pada kadar yang lebih pantas. Ini menyebabkan defisit makanan Malaysia semakin tahun semakin besar daripada RM11 bilion pada 2009 kepada RM17 bilion pada tahun 2014 dan seterusnya kepada RM18 bilion pada tahun 2015,” katanya.