Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Saifuddin seterusnya menyeru pihak EU serta negara-negara anggotanya untuk menjadi pemudah cara bagi pembangunan kelapa sawit Malaysia yang lestari.

Menurutnya, ini termasuk dalam menyebarkan maklumat-maklumat tepat serta memberi layanan adil terhadap kelapa sawit selain menekankan tentang keadilan perdagangan bebas.

"Menteri Luar menegaskan bahawa industri kelapa sawit Malaysia akan terus mempertingkatkan produktiviti dan hasilnya berbanding bertindak memperluaskan ladang-ladang baharu. Ini berbeza daripada yang didakwa segelintir pihak di Eropah. 

"Beliau turut mengetengahkan kepatuhan MSPO terhadap matlamat pembangunan lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi secara komprehensif," katanya di sini hari ini.

Saifuddin sebelum ini telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan-rakan sejawatnya serta ahli-ahli Parlimen dari EU bersempena lawatan kerja beliau ke Brussels bagi menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN-EU (AEMM) pada 21 hingga 23 Januari lalu. 

Pelbagai isu berkepentingan bersama telah dibawa ketika sesi-sesi mesyuarat antara Saifuddin dan menteri-menteri luar dari Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU, termasuk Jawatankuasa berhubung Hal Ehwal Luar (AFET) serta naib-naib presiden Parlimen Eropah.

Dalam pada itu, Wisma Putra menambah, Saifuddin pada sesi itu turut menekankan kerjasama berterusan Malaysia dengan badan-badan pensijilan diiktiraf antarabangsa seperti Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) sekali gus menunjukkan bahawa pelaksanaan MSPO sebagai satu usaha yang integratif.

Sementara itu, Saifuddin telah mengetengahkan usaha Malaysia dalam mempromosikan demokrasi penyertaan (participatory democracy) berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang serta menegaskan bahawa agenda-agenda utama negara termasuk melaksanakan reformasi serta mempertingkatkan pelindungan hak asasi manusia.

"Menteri Luar turut memberitahu tentang bantuan kemanusiaan yang dilakukan Malaysia terhadap etnik Rohingya termasuk mengoperasikan hospital lapangan di Cox’s Bazar dan menyediakan akses kepada pendidikan bagi etnik terbabit," katanya. - UTUSAN ONLINE