Menurut Kementerian Luar, triti yang ditandatangani oleh Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman itu dibuat dalam Majlis Mengenai Triti-Triti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung PBB di Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat, semalam.

“Triti ini merupakan suatu suratcara undang-undang yang kukuh, boleh dilaksanakan dan memperkasakan norma sejagat mengenai antisenjata nuklear.

“Pada masa sama, triti tersebut bersifat inklusif yang membolehkan mana-mana negara untuk meratifikasikannya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kementerian itu, Ma­­­­­­­­­laysia berharap kesan dari segi politik dan perundang­an triti tersebut ke atas gagasan mengenai pelucutan senjata nuklear akan seterusnya menjana satu hala tuju baharu yang diperlukan ke arah penghapus­an senjata tersebut dan mewujudkan dunia bebas senjata nuklear.

Katanya, tindakan menandatangani triti itu mencerminkan pendirian negara yang tegas serta komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam prinsip mengenai pelucutan senjata pemusnah besar-besaran secara umum serta menyeluruh, khususnya perlucutan senjata nuklear dan usaha-usaha ke arah mewujudkan dunia yang bebas senjata nuklear.

Jelas Kementerian Luar, Malaysia turut berharap agar negara-negara lain akan menandatangani triti tersebut dan seterusnya bekerjasama ke arah menguatkuasakannya.

Dalam perkembangan ber­asingan, Malaysia berpuas hati dengan siasatan semasa Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang diketuai Belanda berhu­bung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

Kementerian Luar berkata, Malaysia juga yakin pendakwaan di bawah undang-undang Belanda adalah pilihan yang paling baik untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

Menurut kementerian itu, negara ini juga tegas dalam komitmennya untuk mendakwa pihak bertanggungjawab bagi memastikan keadilan kepada semua mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

“Semalam Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mewa­kili kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai sokongan politik untuk mengadili pelaku kejadian tersebut.

“MoU tersebut ditandatangani bersama Australia, Belgium; Belanda dan Ukraine.

“Kelima-lima negara sepakat untuk terus mencari keadilan dan menjalankan siasatan jenayah mengenai MH17 selaras dengan Resolusi 2166 (2014) oleh Majlis Keselamatan PBB,’’ katanya.