Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, perkara itu dapat dibuktikan melalui persembahan pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) hari ini yang menampilkan pesawat-pesawat lama yang diselenggara dengan baik.

“Kita memang berminat (untuk mendapatkan pesawat baharu) tetapi buat masa ini kita belum sampai tahap untuk membeli kerana kita mendapati pesawat lama yang dibeli dahulu masih menunjukkan prestasi baik.

“Kesemua pesawat lama yang telah diselenggara dengan baik juga menunjukkan aset pertahanan ini masih boleh bertahan lebih lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pertemuan dengan delegasi-delegasi kuasa besar sempena LIMA ‘19, Dr. Mahathir berkata, wakil-wakil tersebut menyatakan keinginan untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam beberapa perkara.

“Saya berjumpa dengan beberapa delegasi yang diketuai oleh menteri dari Perancis, Rusia dan Jepun yang mungkin merancang untuk mengeluarkan pesawat lengkap atau hanya komponen-komponen pesawat di sini.

“Saya merasakan hasil perbincangan hari ini akan disusuli dengan tindakan-tindakan susulan daripada pihak-pihak terlibat di Malaysia untuk tujuan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, kertas putih pertahanan negara yang diumumkan oleh beliau semasa pembukaan LIMA ‘19 akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini. - UTUSAN ONLINE