WAN AZIZAH WAN ISMAIL
WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedua-dua negara juga mahu bekerjasama dalam isu-isu berkaitan perisikan keselamatan, ajaran sesat selain me­ngadakan dialog antara agama dan etnik.

“Kita warga serumpun dan kita juga merupakan negara yang sama pada suatu ketika dulu. Kita boleh bekerjasama untuk mengadakan dialog antara agama dan etnik. Kita tidak mahu mana-mana pihak yang terlalu ekstrem dan radikal di Malaysia.

“Apa yang kita perlukan adalah tolak ansur, aset negara terbesar yang perlu kita lindungi adalah keharmonian yang dikecapi. Kebanyakan rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan kita dalam menukar kerajaan dengan begitu aman. Keamanan ini yang perlu kita lindungi,” katanya dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Wan Azizah menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean, Selasa lalu di pejabatnya, di sini.

Tambah Wan Azizah, fokus juga seharusnya diberikan kepada warga belia kerana mereka adalah penentu masa hadapan negara.

Sementara itu, Chee Hean, dalam kenyataan sama berkata, agenda Singapura ialah meneruskan kerjasama dengan Malaysia dan mengadakan peluang pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penangguhan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Chee Hean berkata, Singapura memahami Malaysia memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkannya.

“Kami faham Malaysia memerlukan sedikit masa untuk memikirkan perkara ini dan kita telah berjaya mencapai kata sepakat iaitu kepentingan kedua-dua pihak dijaga. Ini adalah hasil positif yang lahir daripada isu yang besar berkemungkinan dapat menjadi duri dalam daging dalam hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.