Perdana menteri, yang tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari, menyifatkan Malaysia dan Singapura sebagai saudara kembar, kecuali “kembar yang tua agak besar sedikit daripada adiknya dan sedikit berusia.”

“Namun kita berjaya hidup bersama-sama dalam suasana begitu harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari untuk meraikan beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, oleh rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong serta isteri, Ho Ching di Istana, di sini.

“Bukan sesuatu yang lazim untuk kita melihat negara yang pada mulanya bersatu, kemudian berpisah dan masih berupaya untuk bekerjasama serta bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan Malaysia atas sumbangan yang dihulur Singapura semasa Malaysia berdepan krisis kewangan baru-baru ini.-BERNAMA