Difahamkan mesyuarat dua hala itu dijadual berlangsung selama sejam dan disusuli dengan mesyuarat delegasi.


Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata isu pencerobohan ruang udara Pasir Gudang oleh pesawat sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura merupakan antara perkara utama dalam mesyuarat tersebut.


Beliau berkata, kunjungannya ke Singapura merupakan kesinambungan mesyuarat antara Timbalan Perdana Singpura, Teo Chee Hean dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 31 Disember lalu.


Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Malaysia tetap berpegang kepada pendirian bahawa pesawat ingin mendarat di Lapangan Terbang Seletar tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang.


“Kami membantah dan mengisytiharkan ruang udara tersebut adalah kawasan terhad dan ini akan menjadi masalah kepada Singapura. Saya yakin isu ini akan dibincangkan dengan baik untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua negara,” katanya.


Malaysia juga mengisyitharkan pewujudan kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.


Selain itu, kedua-dua Menteri Luar itu dijangka akan membincangkan isu semakan semula kadar air di bawah Perjanjian Air 1962.


Perjanjian tersebut yang akan berakhir pada tahun 2061 pula menyaksikan Malaysia menjual kepada negara itu 250 juta gelen air mentah sehari dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.


Malaysia kemudian membeli semula air yang dirawat Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.- BERNAMA