Saifuddin
Saifuddin

Menteri Luar. Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi dan menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada rakyat negara itu.

Malaysia, katanya, menawarkan apa sahaja bantuan bersesuaian untuk mangsa gempa di Lombok yang pada 29 Julai lalu turut dilanda gempa bumi bermagnitud 6.4 pada skala Richter.

"Kita amat dukacita dengan kejadian kali kedua ... bantuan kita dah sediakan sejak kejadian pertama*terpulang kepada kerajaan Indonesia, sekiranya mereka hantar signal (mahukan bantuan) kami hantar segera," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Saifuddin berkata, Kedutaan Malaysia di Jakarta telah menghantar pegawai ke lokasi bencana sejak kejadian gempa bumi yang pertama berlaku.

"Pegawai kita telah menghubungi lebih 190 rakyat kita yang ada di Lombok dan semuanya selamat. Kita sedang facilitate (membantu) untuk bawa mereka balik ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita berkata beliau akan berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkenaan sebarang bantuan segera yang boleh dihantar ke Lombok termasuk aset tentera.

Kejadian gempa pertama pada 29 Julai di Lombok turut mengorbankan warga Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 90 orang terkorban dalam kejadian gempa bumi terbaru semalam. - BERNAMA