Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu boleh dilakukan mengikut sistem perundangan termasuk mengambil kira aspek hubungan diplomatik sedia ada.

“Jika ada permintaan (daripada kerajaan India) kita akan bekerjasama.

“Ini bukan soal serah menyerah tetapi soal siasatan, kita mengikut sistem perundangan yang ada di negara dan kerangka hubungan diplomatik yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Baru-baru ini Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir bagi menghalang pergerakannya keluar dari Arab Saudi selepas ingkar saman berulang kali agar satu siasatan dibuat terhadapnya.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum. - UTUSAN ONLINE