Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Mara yakin matlamat tersebut dapat dicapai menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan sebagai galakkan buat usahawan di negara ini meningkatkan kualiti produk mereka mengikut piawaian antarabangsa.


“Usahawan kita perlu memanfaatkan penyertaan rakan dagangan mereka dari Jepun di forum pada hari ini untuk bertukar-tukar ilmu perniagaan serta mempelajari sebanyak yang mungkin mengenai peluang berniaga sempena kejohanan sukan Olimpik nanti.


“Persiapan kita harus bermula sekarang kerana kita perlu mempunyai bekalan produk halal mencukupi untuk menampung keperluan atlit dan penonton beragama Islam yang hadir menyaksikan sukan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum itu di sini hari ini.


Yang hadir sama Pengarah Urusan Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf; Timbalan Presiden Eksekutif OISCA, Toshiro Nakano; Duta Besar Jepun ke Malayisa, Dr. Makio Miyagawa dan Duta Besar Azerbaijan, Qaley Allah Ver Di Yes.


Forum anjuran Mara dan OISCA itu yang bertemakan Meningkatkan Rangkaian Keusahawanan, disertai kira-kira 1,500 usahawan tempatan dan luar negara  termasuk 65 syarikat dari Jepun.


Sempena persidangan itu juga, sebanyak lima perjanjian persefahaman dimetrai di antara Malaysia dan Jepun dalam bidang agro (produk halal), perindustrian, pendidikan dan pembinaan yang bernilai RM520 juta.


Dalam pada itu, Awang Adek berkata, Mara juga menganggarkan sebanyak RM500 juta nilai keuntungan diperolehi hasil kerjasama perniagaan antara para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara yang menyertai forum sama pada tahun lalu. - UTUSAN ONLINE