Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, negara menghasilkan 1.5 juta ekor ayam sehari, namun hanya tujuh peratus adalah untuk ke­perluan eksport.

“Kita masih belum dapat menguasai pasaran ayam dan sa­ya menyarankan syarikat-sya­rikat tempatan mempertingkatkan pengeluaran bagi pasaran dunia.

“Tahap kecukupan ayam pedaging di negara ini ialah sebanyak 128 peratus yang menyumbang 75 peratus daripada pasaran keseluruhannya bernilai RM10 bilion daripada industri ternakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan kilang pemprosesan ayam pe­daging Kumpulan HyFresh Albarakah Food Industries Sdn. Bhd., di Pedas Halal Park di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Eksekutif Kumpulan HyFresh Albarakah Food Industries Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Tahir Picho dan pe­ngasas kumpulan itu, Datuk Seri Pua Tian Siong.

Kilang yang mula beroperasi pada akhir tahun lalu itu mempunyai kemudahan penyembelihan dan mampu memproses sebanyak 150,000 ekor ayam sehari.

Ahmad Zahid memberitahu, secara purata pengeluaran per kapita ayam negara adalah rendah jika dibandingkan dengan Thailand iaitu sebanyak 11.6 ki­logram dan Indonesia sebanyak 6 kilogram.