Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan HLC me­nunjukkan tahap kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua negara dalam aspek pertahanan berada pada tahap tertinggi.

“Tidak banyak negara yang menandatangani HLC dengan kita, hanya sekadar lima negara sebelum ini.

“Malaysia dan Qatar boleh dikatakan berdepan dengan ancaman sama dan HLC meletakkan hubungan ketenteraan kedua-dua negara pada tahap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani surat penya­taan hasrat (LoI) antara Malaysia dan Qatar dalam pelbagai bidang pertahanan serta ketenteraan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan Qatar, Dr. Khalid Mohamed Al Attiyah; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Moha­med Noor dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Hishammuddin, me­nerusi pertemuan hari ini, pihaknya berharap segala bentuk kerjasama dalam bidang pertahanan dan ketenteraan antara kedua-dua negara melalui HLC dapat dimuktamadkan di Qatar dalam tempoh terdekat.

“Kemungkinan besar Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani akan mengadakan lawatan kerja ke negara ini dan selepas kedatangan beliau nanti, kita akan mengesahkan pengisian kepada HLC tersebut.

“Yang pastinya, HLC ini akan merangkumi semua pemegang taruh dalam Kementerian Pertahanan, malah ia akan turut melibatkan hubungan antara industri, geopolitik kedua-dua negara serta agenda Qatar dan Malaysia dalam menangani ancaman keganasan,” ujarnya.

Tambah beliau, Qatar turut meminta Kementerian Pertahanan berkongsi kaedah negara ini meneruskan peranca­ngan dalam aspek ketenteraan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Qatar turut menyatakan hasrat untuk menyumbang kepakarannya kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

“Dalam perjumpaan de­ngan Dr. Khalid Mohamed hari ini, saya turut membentangkan idea penubuhan KSCIP dan nampaknya sambutan daripada mereka amat menggalakkan. Mereka turut bersetuju untuk berkongsi maklumat dan soko­ngan kepada KSCIP,” katanya.