Timbalan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan pemilihan yang dibuat setelah kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persetujuan (MoA) di Qatar, Februari lalu.

"Selepas beberapa siri lawatan antara USIM dan WORAL, kami bersetuju untuk mewujudkan sebuah sudut bahasa Arab ataupun 'Ruknu Arabi' di perpustakaan USIM.

"Penubuhan 'Ruknu Arabi' ini diharapkan dapat mengembalikan semula kegemilangan bahasa Arab di rantau ini dan pihak WORAL meletakkan harapan yang sangat tinggi serta begitu yakin dengan Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad. Turut hadir, Ketua Pengarah WORAL, Dr. Ali Ahmed Khubaisi.

Penubuhan ini ditaja sepenuhnya oleh WORLA dan Qatar Foundation dengan peruntukan sebanyak RM700,000.

Sementara itu, Musa dalam ucapan perasmiannya berkata, pihak WORAL buat pertama kalinya menyambut Hari Arab Sedunia di Malaysia kerana sebelum ini sambutan hanya dibuat di Qatar.

Beliau berkata, sambutan selama enam hari yang bermula Khamis lepas itu turut disertai wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Islamic Educational, Scientific and Cultural Organisation.

"Antara objektif program ini ialah untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Arab dan menyediakan wadah bagi perkongsian berkenaan penggunaan bahasa itu di Malaysia.

"Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2017 ini merupakan sambutan yang pertama diadakan di USIM dan diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya agar martabat serta kesucian bahasa ini terpelihara dan disanjung dunia," katanya sambil menambah pelbagai aktiviti menarik turut disusun sempena sambutan. - BERNAMA