Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, cadangan yang dikemukakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof untuk merangka polisi ekonomi Melayu yang selaras dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) menunjukkan menteri itu tidak memahami hakikat sebenar kemiskinan kaum di negara ini.

“Gerakan tidak menafikan fakta bahawa memang ada orang Melayu yang miskin di negara ini tetapi Mohd. Redzuan tidak sedar bahawa terdapat juga sejumlah masyarakat bukan Melayu yang juga sedang berusaha keras untuk meneruskan kehidupan.

“Kemiskinan itu ‘buta warna’ (tidak mengenal kaum) dan polisi yang bersifat ‘buta warna’ diperlukan untuk menangani masalah sosial dan membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Redzuan hari ini dilaporkan berkata, kementeriannya akan membantu memberikan maklumat berkenaan masalah ekonomi melibatkan bumiputera kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk membantu kementerian itu merangka satu ‘polisi ekonomi Melayu baharu’.

Mengulas lanjut, Dominic turut berharap kerajaan tidak mengambil keputusan tersebut kerana cuba untuk menarik sokongan lebih ramai masyarakat Melayu selepas tewas dalam dua pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Beliau menekankan, kerajaan perlu mengasingkan kepentingan politik dengan pentadbiran kerajaan dan PH perlulah menjadi kerajaan untuk semua rakyat Malaysia dengan hanya memperkenalkan polisi berasaskan keperluan, bukan kaum.

“DAP sebagai anggota kerajaan PH perlu menyatakan pendirian mereka terhadap polisi ekonomi Melayu. DAP dengan 42 Ahli Parlimen dan sokongan kira-kira 95 peratus masyarakat Cina perlu bersuara dan menjadi wakil rakyat Malaysia yang mahu melihat pengakhiran kepada polisi-polisi berasaskan kaum,” katanya. - UTUSAN ONLINE