Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Pusat, Dr Hafidzah Mustakim berkata, hampir 60 peratus kanak-kanak meluangkan masa di media sosial setiap hari dan hanya 35 peratus ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka di media sosial.

"Hal ini menyebabkan, kanak-kanak di negara ini mudah diserang gejala seksual di internet.

"Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dengan memantau aktiviti anak-anak khususnya berkaitan media sosial, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program "My Body Is Mine" anjuran Kelab Pendidikan Kebajikan Kanak-Kanak Cilik di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri, di sini hari ini.

Seramai 75 kanak-kanak tadika di seluruh negeri ini menyertai program itu yang memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai penderaan seksual terhadap mereka.

Yang turut hadir, Pengerusi Kelab Kebajikan Pendidikan Kanak-Kanak Cilik, Nor Fasha Abdul Aziz. - UTUSAN ONLINE