Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini dilaksanakan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menggalakkan simpanan pendidikan sejak peringkat sekolah rendah sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Menurutnya, ini bermakna kerajaan telah menyediakan prasarana untuk pendidikan bermula sejak pra-sekolah lagi.

“Tiada sebuah negara pun sama ada dalam Asean, seluruh Asia atau benua lain yang aktif dan peduli tentang pendidikan dan pendidikan tinggi dengan menggalakkan simpanan pendidikan di mulakan dari peringkat sekolah rendah lagi.

“Ini merupakan satu persedia­an supaya simpanan dapat digunakan apabila anak-anak kita berada di tahap pendidikan tinggi.

“Dalam soal ini kita harus memberikan penghargaan terhadap kebolehpercayaan PTPTN sebagai sebuah institusi pembiaya pinjaman pendidikan tinggi di negara ini,” katanya ketika melancarkan Geran Sepadan dan Kempen Jom Menabung Bersama Tabung Pendidikan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Ahmad Zahid, sejumlah RM48.5 bilion yang telah dikeluarkan dalam bentuk pinjaman pendidikan oleh PTPTN merupakan satu jumlah yang cukup besar.

Katanya, tiada negara yang begitu komited dalam bidang pendidikan seperti mana PTPTN yang memberikan pinjaman umpamanya untuk kemasukan 200,000 pelajar ke kolej atau universiti setiap tahun yang memerlukan pembiayaan berjumlah RM5 bilion.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, walaupun dari sudut komersialnya, PTPTN mencatat jumlah bayaran pinjaman tidak berbayar lebih tinggi daripada pinjaman yang berbayar, namun itu semua diketepikan demi membantu pelajar.

“Begitupun dalam keadaan kita melaksanakan tanggungjawab dalam soal pendidikan, ada pihak pertikai kononnya kerajaan telah bankrap sehingga mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi, kutip riba dan tidak mahu beri pendidikan percuma.

“Memang senang untuk me­nuduh tapi berdasarkan per­spektif dan komitmen kerajaan, kita meletakan PTPTN melebih daripada nilai komersial yang ditetapkan oleh perbankan,” katanya.

Ahmad Zahid seterusnya meminta peminjam PTPTN meneruskan komitmen untuk membayar semula pinjaman mereka, selari dengan tuntutan dan ajaran agama supaya setiap hutang perlu dijelaskan semula.

Menurutnya, hutang tersebut bukanlah hutang kepada PTPTN tetapi hutang kepada rakyat iaitu wang rakyat yang dikutip melalui cukai dan dimasukan ke dalam khazanah negara.

“Jika tidak bayar hutang bermakna membelakangkan rakyat yang mahu mereka belajar,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau dimaklumkan sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 2.8 juta akaun dibuka dan aktif dengan jumlah deposit simpanan sebanyak kira-kira RM2.6 bilion.