Abdul Rahman berkata, antara isu-isu utama yang telah dibincangkan ialah untuk terus meningkatkan perdagangan berikutan pertumbuhan 20 peratus sejak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) 2010 dilaksanakan.

"Perkembangan ini telah meningkatkan lagi jumlah pelancong kedua-dua negara dan perbincangan turut menjurus kepada pelan tindakan selepas TPPA," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menambah, New Zealand mahu meneroka pasaran ASEAN dan Malaysia dilihat sebagai pintu masuk strategik untuk tujuan itu.

"77 peratus daripada import dari New Zealand terdiri daripada produk makanan dan pertanian yang diproses. Malaysia berminat untuk bekerjasama dari segi teknologi dan menimba pengetahuan serta kepakaran New Zealand untuk meningkatkan sektor pertanian di negara ini," katanya.

Oleh kerana ini merupakan lawatan pertama McClay ke Malaysia, Abdul Rahman Dahlan mengalu-alukan kedatangan beliau untuk lawatan seterusnya dalam masa terdekat khususnya melihat peluang-peluang perniagaan yang ada di Sabah untuk merancakkan perdangangan dan aktiviti ekonominya.

"Sejak tidak berlakunya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), tidak ada masa yang lebih baik bagi kedua-dua negara untuk duduk semeja dan meneroka idea-idea baharu yang dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, McClay berkata, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah terjalin selama 60 tahun adalah bukti kepada hubungan dua hala yang berjaya.