Richard Riot

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, dokumen itu dise­rahkan kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder ketika menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa Kali Ke-105 di Geneva, Switzerland.

Katanya, penyerahan dokumen itu merupakan usaha kerajaan untuk menambah baik standard perburuhan negara selaras Konvensyen 131 ILO iaitu pelaksanaan gaji minimum yang diperkenalkan sejak 2013.

“Konvensyen 131 merupakan satu instrumen antarabangsa yang menggariskan kaedah penetapan gaji minimum dan perkara berkaitan dengannya untuk dipatuhi oleh negara yang menerima garis panduan tersebut.

“Ia juga bagi menunjukkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk menambah baik dasar perburuhan negara khususnya berhubung peningkatan perlindungan sosial secara berterusan bagi menjamin kesejahteraan para pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis penyerahan mengadaptasi Konvensyen Buruh Antarabangsa itu kepada ILO disaksikan wakil-wakil pertubuhan majikan dan pekerja iaitu Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Dalam masa sama, Richard Riot memberitahu, pi­hak kerajaan telah me­lakukan perbincangan dan konsultasi menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara serta ILO bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat keputusan mengadaptasi Konvensyen 131.

Katanya, kerajaan berpandangan sistem dan struktur dasar gaji minimum negara yang sedia ada adalah selaras dengan artikel-artikel di bawah konvensyen tersebut.

“Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan sesi penerangan terhadap semua pihak menerusi media elektronik mengenai penerimaan konvensyen ini termasuk keperluan pematuhan artikel-artikel ditetapkan,” katanya.