Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang tahun 2050, penduduk Malaysia dijangka ber­jumlah 50 juta dan menjadi kemestian buat negara mengeluarkan sendiri makanan untuk rakyat serta bagi tujuan eksport.

“Transformasi Nasional 50 (TN50) juga mengenai kecukupan bekalan makanan untuk rakyat dan kerajaan berharap kita tidak lagi mengimport tetapi kita hasilkan semua bekalan makanan untuk rakyat dan eksport de­ngan kualiti terbaik,” katanya ketika berucap menutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menyentuh mengenai pengan­juran MAHA, Ahmad Zahid berkata, edisi 2016 adalah yang terbaik dalam sejarah apabila mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung teramai, hasil jualan produk terbanyak serta mendapat publisiti paling meluas berbanding edisi sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, sudah tiba masanya tapak MAHA di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dijadikan lokasi agro pelancongan tahunan bagi mempromosikan Malaysia memandangkan sekarang penganjuran MAHA hanya dibuat dua tahun sekali.

Jelasnya, bagi menjayakan has­rat itu, beliau sendiri akan menawarkan diri untuk menjadi Pengerusi Penyelaras Peringkat Kabinet agar tapak MAHA sentiasa ‘hidup’ dengan program agropelancongan dan jika langkah tersebut berjaya direalisasikan, sedikit sebanyak kos sara hidup rakyat dapat diringankan.