Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, harapan itu dinyatakan dalam pertemuan beliau bersama rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi hari ini.

"Kadar dinaikkan atas minyak sawit agak lebih tinggi sikit daripada minyak sayuran lain, ini saya minta supaya dapat dilihat semula oleh kerajaan India dan Modi maklumkan, beliau beri perhatian serius atas permintaan ini," katanya kepada pemberita Malaysia, di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan kadar duti import yang dikenakan sejak November lalu boleh mendatangkan kesan pada pembelian minyak kelapa sawit kerana India merupakan pembeli kedua terbesar.

Selain minyak sawit, India turut menaikkan cukai import ke atas minyak kacang soya dan minyak bunga matahari juga masing-masing kepada 17.5 peratus dan 12.5 peratus.

India mengimport kira-kira 14.5 juta tan minyak sayur-sayuran dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun untuk memenuhi permintaan domestik.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan pemberian anugerah Padma Shri oleh kerajaan India kepada penari klasik terkemuka, Datuk Ramli Ibrahim sebagai satu penghormatan yang sangat tinggi kerana koreografer tersebut memang layak menerimanya.

Penganugerahan itu merupakan anugerah awam tertinggi daripada kerajaan India atas kewibawaan Ramli sempena sambutan Hari Republik Ke-69 negara itu.

"Selain itu, saya nyatakan Malaysia ada dua permohonan iaitu untuk menambah jumlah penerbangan dan berharap permintaan itu diterima kerana sejak lawatan saya pada Mac lalu, kerajaan India meluluskan tambahan 1,861 tempat duduk setiap minggu kepada Malaysia menerusi Perjanjian Perkhidmatan Udara.

Beliau berkata, dalam permohonan lain, Modi juga mempertimbangkan kontrak kepada syarikat Malaysia terutamanya pembinaan lebuh raya selepas syarikat konsesi IJM dianugerahkan kontrak untuk membina sebuah lebuh raya bernilai AS$350 juta.

Sementara itu, mengulas mengenai rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Najib berkata, Malaysia berharap dapat melihat beberapa perkembangan positif menjelang akhir tahun ini.

"Kami tidak membantah isu ini semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India. RCEP adalah penting dan terdapat banyak ketidakpuasan jika kita tidak menyimpulkannya jadi perlu ada keputusan mengenainya," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini bahawa beliau menimbang semula perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik jika AS memperoleh perjanjian jauh lebih baik, Najib berkata, Malaysia mahu melihat terlebih dahulu kehendak AS. - UTUSAN ONLINE