Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia juga ingin tahu apa pandangan EU yang sebenar terhadap industri sawit hingga membawa kepada resolusi lara­ngan import hasil komoditi itu.

“Kedua-dua pihak akan berbincang tindakan yang boleh dilakukan Perancis untuk membantu Malaysia memberi penjelasan kepada EU tentang keadaan industri sawit yang disalahertikan.

“Malaysia amat berharap bantuan Perancis meleraikan isu ini apatah lagi kita banyak membeli aset pertahanan daripada negara berkenaan termasuklah kapal logistik dan pe­ngangkut Airbus A400M,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5 di SAKJ Taman Sri Lambak dan Paloh 2 di sini hari ini.

Pada April lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya mi­nyak sawit dihasilkan secara les­tari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Resolusi berkenaan dianggap tindakan diskriminasi EU yang mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia itu bakal menjejaskan seramai 112,632 peneroka Felda dan pekebun kecil.

Hishammuddin berkata, tidak menjadi kesalahan jika Perancis memberi penjelasan sebenar kepada pelobi serta aktivis EU yang bukan saja memburuk-burukkan industri sawit negara, malah mahu import minyak sawit Asia disekat.

“Selain isu minyak kelapa sawit, Malaysia juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertahanan bersama-sama Perancis bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan dan pertahanan dengan tahun ini giliran kita mengadakannya selepas negara itu tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerjasama dalam bidang pertahanan dan ketenteraan yang dipersetujui hasil lawatan Perdana Menteri ke India membuktikan Malaysia dihormati negara kuasa besar dunia.

“Persetujuan yang dicapai ha­sil perbincangan Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri India, Narendra Modi terutama dalam menjalankan latihan udara bersama-sama tentera udara kedua-dua negara amat dialu-alukan,” katanya.

“India bukan saja mempunyai kepakaran yang boleh dipelajari, malah kita mempunyai dan menggunakan beberapa aset pertahanan hampir sama yang bakal memanfaatkan kedua-dua negara, malah kita bakal mendapat input India terhadap beberapa aset pertahanan yang mungkin akan dibeli Malaysia nanti