Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keyakinan itu dapat dilihat menerusi penyertaan pelbagai negara dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia ( Natsec) 2018 yang bermula hari ini sehingga 19 April ini.

“Malaysia juga menjadi negara strategik dan penting kepada syarikat terbabit meluaskan pasaran mereka nanti.

“Saya turut gembira melihat penyertaan pelbagai negara. Lihat Turki yang mempunyai ruang pameran yang besar. Ini menunjukkan mereka yakin dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di ruang pameran DSA 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, majlis pembukaan DSA 2018 dan Natsec 2018 yang bermula hari ini berlangsung meriah serta berjalan lancar dengan penyertaan pelbagai syarikat antarabangsa.

Majlis pembukaan diadakan pada pukul 9.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd.Johari Baharum.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat,Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Lebih 1,500 pempamer dari 60 buah negara terlibat dalam pameran tersebut yang kini memasuki penganjuran kali ke-16. – UTUSAN ONLINE