Perdana Menteri, Tun Dr. Ma­hathir Mohamad berkata, da­lam masa sama beliau mahu men­ge­­kalkan hubungan baik dengan China dan mengalu-alukan se­ba­rang bentuk pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Kami tidak rasa kami memer­lukan dua projek berkenaan. Ka­mi tidak fikir ia berdaya maju. Jadi, jika boleh kami berhasrat me­lepaskan projek berkenaan.

“Sekiranya pembatalan projek tidak boleh dilakukan, Malaysia perlu sekurang-kurangnya me­nundanya sehingga ke suatu masa ‘di mana mungkin keperluannya meningkat’,” katanya dalam temu bual bersama The Associated Press (AP) di sini hari ini.

Kementerian Kewangan sebe­lum ini mengeluarkan Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan bagi tiga projek berbilion ringgit iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, notis berkenaan di­keluarkan melalui Menteri Kewa­ngan Diperbadankan (MKD) pada 3 Julai 2018 kepada China Petro­leum Pipeline Bureau (CPPB) yang me­nguruskan projek MPP dan TSGP serta China Communications Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama ECRL.

Mengulas tindakan China mem­bina pulau buatan manusia dilengkapi radar dan stesen peluru berpandu bagi memperkukuhkan kedudukan dan tuntutan di Laut China Selatan, Dr. Mahathir menggesa China supaya menghor­mati pergerakan bebas kapal-kapal di Laut China Selatan.

“Semua kapal termasuk kapal perang melalui Laut China Selatan namun bukan untuk penempatan. Ini amaran kepada semua pihak. Jangan cipta ketegangan,” katanya.

Selain itu, Dr. Mahathir turut meluahkan kekecewaan de­ngan cara kerajaan Myanmar dan kepemimpinan utamanya, Aung San Suu Kyi menyelesaikan permasalahan etnik Islam Rohingya di negara tersebut.

“Apa yang mereka telah lakukan tidak adil, membunuh manusia, pembunuhan beramai-ramai. Itu bukan cara masyarakat bertamadun bertindak,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini Malaysia menghentikan sementara waktu komitmen menerima kehadiran pelarian Rohingya berikutan masalah pendatang asing tanpa dokumen yang masih ramai di negara ini.