Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan, tindakan-tindakan ganas sebegini mesti dihentikan.

“Pada masa kesedihan ini, Malaysia berdiri bersama keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat dari Belanda dalam meratapi kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dialami akibat perbuatan itu.

“Kami harap mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan kejam ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan menjadi mangsa atau cedera dalam insiden di Belanda berkenaan.

Katanya, berikutan kejadian tersebut, Kerajaan Belanda telah meningkatkan tahap ancaman ke tahap lima iaitu tahap tertinggi untuk wilayah Utrecht sehingga pukul 6 pagi waktu tempatan.

“Kedutaan Malaysia di The Hague berhubung dengan rakyat Malaysia di Utrecht dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan akan terus memantau keadaan.

“Talian hotline telah ditubuhkan oleh kedutaan bagi memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa,” katanya.

Kedutaan boleh dihubungi di alamat : Rustenburgweg 2, 2517 KE, The Hague atau di talian 00(3170) 350 6506 dan email ke [email protected] serta [email protected].

Serangan bersenjata di dalam sebuah trem di Utrecht semalam mengakibatkan tiga terbunuh manakala lima yang lain cedera. - UTUSAN ONLINE